SEJAK kebelakangan ini isu judi telah menjadi satu topik hangat yang dibincangkan oleh rakyat Malaysia di media sosial selepas Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk menurunkan semula cabutan khas judi kepada 8 kali setahun berbanding 22 kali setelah dinaikkan semula oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Isu judi telah menjadi satu sensitiviti khususnya bagi masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia kerana aktiviti perjudian akan membawa kemudaratan yang besar kepada masyarakat. Walaupun cabutan khas judi berjaya diturunkan kepada 8 kali setahun tetapi masih ada suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan mencabar kerajaan sekarang untuk menghapuskan semua pusat judi.
Pemimpin parti Pas kelihatan begitu lantang dalam mendesak kerajaan perpaduan sekarang untuk menghapuskan pusat judi walaupun Pas pernah menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet dalam kerajaan sebelum ini. Namun semasa Pas dalam kerajaan dibawah pimpinan dua orang Perdana Menteri,mereka gagal menterjemahkan perjuangan parti mereka yang berlandaskan Islam untuk menghapuskan pusat judi bahkan semasa Pas menjadi kerajaan juga cabutan khas judi dinaikkan semula kepada 22 kali setahun dan pusat judi masih beroperasi seperti biasa.
Pas seharusnya mengekalkan vokal yang lantang untuk memperjuangkan Islam semasa dalam kerajaan dan bukan hanya menjadi vokal setelah menjadi pembangkang. Rakyat sedang menilai sama ada Pas ini berniat jujur untuk memperjuangkan agenda islam atau ibarat menanam tebu di tepi bibir.
Selain daripada isu judi, isu perkauman juga telah dibangkitkan semula oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk memecahbelahkan keharmonian kaum di Malaysia dengan memainkan sentimen kaum yang agak keterlaluan. Isu perkauman ini bukan masalah kecil yang perlu dipandang ringan oleh kerajaan kerana ianya akan memberi impak yang besar kepada pembangunan negara sekiranya barah ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Sentimen perkauman ini dibangkitkan semula atas kekecewaan oleh pihak yang kalah atas slogan “perjuangan Melayu dan Islam” dan cuba untuk menyemai benih kebencian orang melayu kepada kerajaan. Sekiranya benih kebencian ini terus ditanam dan dibiarkan tumbuh mekar, keharmonian dan kemajmukan negara Malaysia akan terus terjejas.
Orang Melayu seharusnya lebih peka dan cakna tentang hak keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak bagi memastikan nasib orang Melayu terus terjaga. Termasuklah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan,Hak Keistimewaan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Hak Pengisytiharaan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sekiranya orang Melayu berpegang teguh kepada keluhuran perlembagaan yang termaktub dalam lima prinsip Rukun Negara untuk menjaga hak dan kepentingan orang Melayu, pasti isu dan sentimen perkauman sukar dimainkan oleh pihak tertentu.
Rakyat Malaysia seharusnya mengekalkan sifat toleransi antara kaum yang telah dipupuk oleh para pemimpin kita sebelum ini demi memastikan kemerdekaan yang telah dicapai selama enam dekad ini terus dapat dipertahankan.
Selain itu,politik juga amat memainkan peranan yang sangat penting. Mengapa ianya penting? Kerana segala permasalahan dan penyelesaian yang berlaku berkait rapat dengan politik. Politik itu kuasa dan kuasa itu adalah politik. Bagi mengekalkan kekuasaan,ada parti politik yang sanggup memainkan isu kaum dan agama sebagai senjata politik mereka untuk terus mendapatkan sokongan daripada rakyat. Akhirnya kuasa itu disalahgunakan hanya untuk menyebarkan kebencian dan ketaksuban yang melampau.
Sebagai rakyat Malaysia yang merdeka kita seharusnya lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu perkara dengan berfikir secara waras sebelum membuat sesuatu keputusan terutama sekali perkara yang melibatkan kepentingan negara kita agar negara kita mencapai kemajuan setanding dengan negara-negara maju yang lain serta mewujudkan persaingan dan melahirkan rakyat yang berproduktif tinggi.
Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO