SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas lebih 7.8 juta batang rokok seludup bernilai RM5.6 juta termasuk cukai dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 22 November lalu.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihak kastam Cawangan Siasatan Khas bersama Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang telah memeriksa sebuah kontena yang dikendalikan syarikat perkapalan di pelabuhan tersebut pada jam 1.15 tengah hari.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas kontena dari China itu membawa kepada penemuan lebih 7.8 juta batang rokok putih bernilai RM630,440 dan melibatkan cukai RM5.04 juta, iaitu rampasan tersebut keseluruhannya berjumlah RM5.6 juta.
“Semakan mendapati kontena itu diimport oleh sebuah syarikat berstatus Sdn. Bhd di Kuala Lumpur namun siasatan lanjut mendapati nama syarikat yang menguruskan perniagaan percetakan itu digunakan tanpa pengetahuan mereka.
“Modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai tuala, pinggan mangkuk seramik, tisu basah serta rokok namun semakan mendapati kesemua itu kecuali tuala tiada permit import,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan negeri di Perai di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hamisan berkata, ini merupakan kali pertama kontena berisi rokok seludup guna nama syarikat tersebut dikesan oleh pihak kastam.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a)dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976,” jelas beliau. – MalaysiaGazette