Gambar hiasan

TAHUN kebelakangan ini, kita melihat pembongkaran demi pembongkaran kegiatan sindiket di negara ini yang telah menyebabkan kerugian bukan jutaan ringgit sebaliknya berbilion ringgit kepada negara.

Antara pembongkaran ini adalah seperti kartel projek yang membolot projek-projek di kementerian dan agensi kerajaan, sindiket pengeluaran pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dan paling mengejutkan kewujudan kartel daging yang menyeludup masuk daging sejuk beku dari luar negara.

Saudara pengarang, sebagai rakyat Malaysia, saya berterima kasih atas usaha serta kecekapan SPRM membanteras rasuah termasuk penyelewengan oleh individu serta beberapa figura dalam kalangan ahli politik yang kita harapkan untuk membangunkan negara, namun ‘harapkan pegar, pegar makan padi.

Malah setiap kali berlakunya perubahan atau pembentukan kerajaan baru yang mentadbir negara, ia masih tidak mampu menutup perbuatan rasuah dan ia masih tetap sahaja berlaku seolah-olah isu rasuah yang dilaungkan sekadar retorik sahaja.

Pelbagai strategi yang dicadangkan oleh pelbagai pihak termasuk yang pakar seolah-olah tidak berkesan dan rasuah ini seperti sukar dihapuskan dan sudah berakar umbi.

Dalam mana-mana agama sekalipun, rasuah disifatkan sebagai perbuatan tidak baik, salah dan individu terlibat perlu dihukum. Justeru, amatlah penting pendidikan mengenai rasuah ini perlu dijalankan secara berterusan dari peringkat awal.

Kanak-kanak sejak di peringkat sekolah rendah perlu diberi pendidikan mengenai bahaya rasuah dan usaha mendidik mereka ini perlu dilakukan secara berterusan, bukan sekadar bermusim sahaja menerusi kempen yang diadakan sekali-sekala sahaja.

Mereka perlu diberi kesedaran dan maklumat bahawa rasuah ini akan memberi keburukan kepada masyarakat sebagaimana contoh infrastruktur yang berkualiti pasti tidak dapat dihasilkan jika berlakunya rasuah dan penyelewengan hingga menyebabkan ia dibina menggunakan bahan tidak berkualiti. Mereka perlu diberi ilmu untuk melihat kesan-kesan rasuah ini.

Mereka perlu diberi pendedahan agar apabila besar, bekerjaya atau diberi tanggungjawab memimpin negara, mereka dapat menolak jika ada pihak ingin menawarkan rasuah kepada mereka.

Paling tidak sekalipun, mereka mempunyai ilmu untuk mengesan berlakunya penyelewengan atau salah guna kuasa dalam sesuatu urusan dan menjadi pemberi maklumat bagi mencegah rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

Hanya dengan pendidikan ini, akan lahirlah generasi yang berintegriti, peka kesan rasuah dan incorruptible (bermoral) sehinggakan mampu menolak rasuah walapun ditawarkan rasuah yang lumayan.

Said Anuar Said Hussain
Bekas penjawat awam