Mohsen Shekari. foto Twitter

TEHRAN – Iran melaksanakan hukuman mati pertama terhadap penunjuk perasaan yang disabitkan bersalah atas pergolakan anti-kerajaan baru-baru ini.

Mohsen Shekari dihukum gantung pada pagi Khamis selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Revolusi “moharebeh” (permusuhan terhadap Tuhan), kata media kerajaan.

Dia dituduh sebagai perusuh yang menghalang jalan utama di Tehran pada September lalu dan mencederakan anggota pasukan separa tentera dengan parang.

Seorang aktivis berkata, Shekari telah disabitkan kesalahan selepas “perbicaraan tanpa sebarang proses sewajarnya”.

”Masyarakat antarabangsa mesti segera dan tegas bertindak balas terhadap pelaksanaan ini.

”Sekiranya hukuman mati Mohsen Shekari tidak mendapat akibat yang serius kepada kerajaan, kami akan berdepan hukuman mati beramai-ramai bersama-sama penunjuk perasaan,” Mahmood Amiry-Moghaddam, Pengarah Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran yang berpangkalan di Norway, dalam satu kenyataan.

Agensi berita Badan Kehakiman Mizan melaporkan, Mohsen Shekari telah menyekat Jalan Sattar Khan di Tehran pada 25 September dan menggunakan parang untuk menyerang seorang anggota pasukan separa tentera sukarela yang sering dikerahkan untuk memadamkan protes.

Pada 1 November, mahkamah mendapati Shekari bersalah kerana melawan dan mengeluarkan senjata “dengan niat membunuh, menyebabkan keganasan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat” dan mensabitkannya dengan “permusuhan terhadap Tuhan”, kata Mizan.

Dia merayu terhadap keputusan itu, tetapi hukuman tersebut dikekalkan oleh mahkamah agung pada 20 November lalu. – Agensi