KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan yang baru dilantik Steven Sim Chee Keong mahu melupakan sengketa dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, beliau akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agung untuk melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya.

Dalam ciapan di Twitter selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini beliau dalam sebuah pantun berikrar untuk bekerjasama dengan Setiausaha Agung UMNO itu.

“Sekarang dah 2022 nak masuk 2023, kita jalan teruih demi pertiwi.

“Sama-sama dayung bahtera, Dayung arah kota permata; Sama-sama bangun negara, Junjung titah lupa sengketa.

Let’s work together Datuk Seri,” kata Sim sambil berkongsi gambar beliau bersama Ahmad.

Pada tahun 2015 Sim membuat ciapan menyatakan tugasnya adalah untuk merutuhkan kerajaan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pontian itu.

Ciapan itu menjadi tular semula selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sim dan Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

“I have only one job: to bring down a government which consists of people like Ahmad Maslan,” ciap beliau. (Saya hanya ada satu kerja: menjatuhkan kerajaan yang terdiri daripada orang seperti Ahmad Maslan)

Sementara itu Ahmad dalam reaksinya selepas mengangkat sumpah berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai timbalan menteri kewangan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad berkata, beliau akan menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.

“Syukur kehadrat Allah, menjunjung kasih kepada tuanku juga merakamkan stinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid dan rakan-rakan mendoakan saya ada tempat untuk membantu kerajaan perpaduan ini.

“Saya berazam ungtuk melakukan yang terbaik, saya berazam untuk menggunakan sedikit pengalaman di Kementerian Kewangan bagi meneruskan dasar-dasar kerajaan perpaduan untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita di Istana Negara.

Seramai 27 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Kesemua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.