Tindakan pantas bomba berjaya membantu mangsa mengeluarkan kakinya dengan memecahkan mangkuk tandas tersebut dalam kejadian yang berlaku di Taman Sri Rambai, Kuala Selangor malam ini.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak telah melalui detik cemas selepas kaki kirinya tersepit dalam mangkuk tandas di kediamannya.

Bagaimanapun tindakan pantas bomba berjaya membantu mangsa mengeluarkan kakinya dengan memecahkan mangkuk tandas tersebut dalam kejadian  di Taman Sri Rambai, Kuala Selangor dekat sini malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan keluarga mangsa yang memaklumkan mengenai insiden tersebut.

Kaki kanak-kanak tujuh tahun yang tersepit dalam mangkuk tandas rumahnya dikeluarkan oleh anggota bomba Kuala Selangor dalam insiden di Taman Sri Rambai, malam tadi.- Gambar iIhsan bomba Selangor.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor telah bergegas ke rumah mangsa.

“Sejurus selepas tiba di lokasi kejadian jam lebih kurang pukul 8.42 malam, pemerhatian anggota di lokasi mendapati kejadian membabitkan seorang kanak-kanak tempatan berusia tujuh tahun tersepit kaki di dalam mangkuk tandas cangkung.

“Anggota mula mengatur teknik dan strategi untuk menyelamatkan mangsa sebelum mereka menggunakan peralatan khas dan memecahkan mangkuk tandas tersebut dan berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit di dalam pada pukul sekitar 9.11 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau pemeriksaan lanjut anggota terhadap mangsa mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan pada kakinya. – MalaysiaGazette