PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) tampil dengan 16 hajat (wishlist) terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kesemua hajat itu bukan sahaja maklum balas dari rakyat sebaliknya juga merupakan tonggak perjuangan Anwar sendiri sejak lebih 20 tahun.
Berikut adalah wishlist harapan rakyat untuk Kerajaan Perpaduan;
1. MCW mewakili seluruh rakyat Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Secara khususnya, kami mempunyai harapan yang tinggi agar Datuk Seri dapat melaksanakan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan tadbir urus yang baik (good governance), bebas rasuah, adil, mempunyai semak dan imbang yang mantap.
Pelaksanaan agenda good governance amat penting untuk memberi jaminan terhadap harapan rakyat bahawa kerajaan baharu ini mampu mencapai kejayaan dalam usaha memperkasa strategi menjaga kebajikan rakyat.
Secara tidak langsung pelaksanaan agenda ini akan dapat mengawal kenaikan harga barang dan mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang sudah lama bermula.
Tindakan tuntas perlu dilakukan kerana dunia kini sedang berhadapan dengan ancaman kemelesetan ekonomi global yang semakin meruncing.
YAB Datuk Seri juga memerlukan fokus yang tinggi untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik negara secara dwipartisan berjalan lancar. Jangan biarkan tanda-tanda permainan politik yang masih belum reda merosakkan keyakinan rakyat. Rakyat sudah muak dengan pertelingkahan politik dan pelbagai isu lain yang tidak penting pada saat ini.
2. Kepimpinan baharu Kerajaan Perpaduan Malaysia ini kelihatan mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk membuat reformasi dan perubahan demi kebaikan rakyat.
Kita mahu melihat dengan adanya keazaman politik ini dapat mengintegritikan politik negara dan fokus terhadap agenda anti rasuah.
Keazaman politik adalah kunci utama kepada kejayaan ahli Parlimen/ anggota Kabinet bagi memulihkan Malaysia daripada kesan buruk pasca pandemik Covid- 19, bahaya rasuah, ketidaktentuan ekonomi dan kemelut politik yang menyebabkan ketidakstabilan politik malah amat merugikan negara. Kita juga tidak mahu strategi penyatuan di bawah kerajaan perpaduan ini dikatakan kemahuan politik (political will) yang retorik.
Buktikan kepada rakyat ini bukan retorik atau ayat pancingan politik semata-mata.
3. MCW berharap YAB Datuk Seri dapat menegaskan pembentukan dan pembinaan satu kerajaan baharu yang terdiri daripada mereka yang benar- benar berintegriti serta berjiwa besar cintakan negara tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan fahaman politik mereka.
Kami yakin YAB Datuk Seri telah melantik mereka yang jujur, tidak hipokrit dan tidak hanya mementingkan ‘tembolok’ sendiri.
Sejujurnya, kami menghormati keputusan senarai anggota Kabinet pilhan Perdana Menteri namun harapan tinggi MCW terhadap status anggota Kabinet yang masih terlibat dengan kes di mahkamah tidak akan dilepaskan dengan begitu sahaja oleh Jabatan Peguam Negara dan mesti melalui perbicaraan mahkamah yang telus supaya dapat menyakinkan rakyat terhadap kerajaan baharu ini.
4. MCW juga berharap YAB Perdana Menteri dapat memimpin Kerajaan Perpaduan yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan baik supaya ekonomi Malaysia stabil dan menyakinkan para pelabur asing.
Impak besar pelaksanaan keazaman politik dalam sistem kerajaan, kejituan, kesepakatan serta komitmen setiap pihak telah membuktikan Malaysia berjaya menangani masalah komunisme melalui tindakan bukan membunuh atau menangkap setiap ahlinya tetapi menggunakan strategi memutuskan rantaian sokongan kepada ideologi tersebut.
Rantaian wabak Covid-19 juga dapat diatasi dengan tindakan tuntas kerajaan dan kerjasama semua pihak secara menyeluruh.
5. Keazaman politik anggota kabinet dan para pegawai mereka perlu diperkasakan dengan nilai integriti menerusi pengenalan undang – undang baharu sebagaimana yang telah dicadangkan demi melahirkan pemimpin berprinsip mulia, berpendidikan dan berpengetahuan (knowledge base) serta mempunyai etika yang tinggi.
Setakat ini, keazaman tersebut wujud tetapi tidak mencukupi dan banyak kekurangan yang perlu ditambah baik. Kesemua anggota kabinet dan pegawai mereka perlu segera diwajibkan mengikuti kursus khas berkenaan etika dan governans anjuran khas SPRM.
6. Kemahuan politik perlu diperhebatkan dengan keazaman politik yang tinggi bagi memastikan pelan strategik, pendidikan, pencegahan, penguatkuasaan, punitif, kerjasama, pembudayaan mampu digarap dan digabungkan sebagai satu usaha holistik Agenda Antirasuah Negara.
7. Peranan GIACC menerusi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dengan 115 inisiatif terbaik adalah bukti keazaman kerajaan yang lalu.
Namun, pelaksanaannya agak mengecewakan kerana sikap segelintir penjawat awam yang tidak serius dan tidak mengambil berat. Pelbagai inisiatif mitigasi bagi menangani risiko tadbir urus politik tidak dapat dilaksanakan kerana komitmen rendah pihak kerajaan yang lepas agak tersekat atas kemelut politik yang tidak pernah selesai.
Sewajarnya GIACC memperhebatkan kempen ‘memutuskan rantaian rasuah’ secara berterusan dengan sokongan, komitmen dan tindakan setiap individu serta organisasi agar mampu membebaskan Malaysia daripada rasuah.
8. Secara tegasnya, SPRM mesti diperkasakan sebagai sebuah suruhanjaya yang unggul dan diletakkan di bawah Parlimen Malaysia.
Berkuasa sepenuhnya ke atas pelantikan dan pemecatan pegawai SPRM, bersifat autonomi serta mempunyai peruntukan khas sendiri.
MCW berharap hak SPRM tidak diganggu gugat. Kemasukan ‘orang luar’ yang bukan dalam bidang dan pengalaman berkaitan amatlah tidak aiu-alukan untuk menerajui SPRM.
9. MCW mencadangkan pemerkasaan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan dijadikan sebagai Institut Antirasuah dan Governans.
Kursus kepimpinan diwajibkan menekankan aspek etika dan tadbir urus baik bagi melahirkan pemimpin negara (menteri), pegawai tinggi kerajaan, kakitangan awam yang lebih telus serta berakauntabiliti.
10. Negara kita perlu mempunyai undang-undang yang jelas bagi menampung pelbagai kelompongan dan perbicaraan di mahkamah berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
Rang undang-undang yang perlu disegerakan adalah Akta Pendanaan Parti Politik dan kajian khas ke atas beberapa akta lain agar tidak shortfall serta menyebabkan kes tidak dapat diteruskan. Menteri undang-undang mempunyai tugasan besar dan perlu menawarkan pelbagai idea penambahbaikan.
11.Reformasi perundangan yang melibatkan tadbir urus politik yang akan digubal perlulah mengambil pandangan pelbagai pihak terutamanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam negara dan badan antarabangsa yang berkelayakan.
Pemisahan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara disambut baik dan ini merupakan langkah permulaan terbaik.
Hukuman sebat dan penjara seumur hidup kepada pesalah rasuah perlu diperkenalkan segera. Perundangan khas berkenaan perlindungan aset negara, ketirisan dan masalah kartel perlu diberikan keutamaan.
12.Agensi penguatkuasaan dan penawaran lesen adalah lubuk utama rasuah. Fokus khas perlu diberikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat isu ini.
Institusi Kehakiman juga mestilah bersih dan kelihatan bersih agar rakyat mempunyai persepsi yang tepat terutamanya dalam kualiti penghujahan dan ketelusan fakta.
13.Memandangkan konteks dan bentuk jenayah bertambah sofistikated, latihan serta kompitensi pegawai perlu dipertingkatkan. Proses pengambilan pegawai mesti ditambah baik. Proses kenaikan pangkat perlu diperkemaskan kerana sudah ketinggalan zaman. Aspek ketelusan perlu diperbaiki agar rakyat dapat melihat dan menilai dengan jelas tata kelola anggota penguatkuasaan.
14.Individu yang terlibat dengan rasuah sewajarnya diberi peluang untuk terlibat dengan program Pemutihan dalam tempoh setahun ini agar mereka boleh memulakan hidup baharu, kesal dan bertaubat serta membetulkan kesilapan lampau mereka. Pemulangan semula aset dan kewangan mereka akan mampu memulihkan ekonomi negara dan kehidupan peribadi individu tersebut.
15.Kecacatan dalam prosedur penyiasatan kes rasuah yang dominan menuding jari dan meletakkan kesalahan total ke atas penerima rasuah sahaja harus dibetulkan segera. Para pemberi yang tampil melapor perlu turut dikenakan hukuman setimpal kerana tanpa pemberi pasti tiada penerima.
16.Rakyat dan mangsa rasuah perlu dilindungi dengan lebih baik dengan pemantapan Akta Pemberi Maklumat (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi (Akta 696).
Pembongkaran kes melalui wartawan / media perlu mendapat saluran khas penyiasatan dan mempunyai perlindungan instimewa.
Dalam isu membela pelanggaran hak manusia, menuntut keadilan dan akauntabiliti, kemahuan politik menjadi kritikal. Keazaman sehingga tertegak kebenaran dan keadilan untuk mengubah sesebuah sistem atau dasar akan menjadi petanda kepada kesungguhan kemahuan politik yang bernilai tinggi.
Justeru, kita berdoa kehadrat Allah SWT agar YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pemimpin di bawah Kerajaan Perpaduan ini dikurniakan kesihatan yang baik, keberkatan hidup dan kekuatan luar biasa dalam siap siaga mendepani masa depan yang sangat mencabar demi Malaysia tercinta.- MalaysiaGazette