Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan bersama golongan ulama pada Program Pertemuan Mahabbah Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Projek tebatan banjir yang bernilai RM7 bilion sebenarnya sudah diluluskan Kementerian Kewangan (MoF) semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bila saya lihat diluluskan dengan spontan projek tebatan banjir, syarikat-syarikat dipertikai, beberapa persoalan tidak dijawab, saya minta ia ditangguhkan, diteliti semula.

“Esok saya akan ke Kementerian Kewangan dan saya akan kaji. Itu benar, itu bukan fitnah, memang diluluskan tapi belum dilaksanakan kerana pilihan raya.

“Hari pertama saya di MOF, pegawai kata ya sudah diluluskan tapi belum dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pertemuan Mahabbah bersama ulamak dan asatizah di Kompleks Seri Perdana.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Baru-baru ini Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan kerana projek itu membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu juga berkata, pegawai MoF sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar isu projek tebatan banjir itu tidak dijadikan isu politik.

“Jadi tak perlu jadi hal politik, (perkara pertama) hari pertama saya jadi Menteri Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Anwar mendedahkan beliau hanya menyedari bahawa hutang negara kini sudah mencecah RM1 trilion sebaik sahaja menggalas jawatan Perdana Menteri.

“Saya kebetulan diberi mandat dalam keadaan hutangnya lebih RM1 trilion, daripada setiap agensi yang kita teliti, di mana bocornya, di mana tirisnya.

“Ini bukan fitnah, saya kerja kuat menelliti fail-fail. Sebab itu apa-apa projek itu kita tangguhkan, teliti semula atau batalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast