Kamarul Zaman selepas melakukan pemeriksaan tangkapan menerusi Op Tapis Khas di Balai Polis Bayu Damai Kota Tinggi, Johor pagi tadi.

KOTA TINGGI –  Seorang buruh dipercayai tokan dadah antara 58 yang dicekup dalam Op Tapis Khas di sekitar daerah ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika sedang tidur di sebuah rumah dekat Felda Air Tawar Tiga.

“Salah seorang ditahan sebagai pengedar dadah. Bagaimanapun kita dalam proses untuk meneruskan siasatan sama ada untuk mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Kita dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam terutamanya pengedaran dadah,” katanya di Balai Polis Damai selepas kejayaan Op Tapis Khas di sekitar Kota Tinggi awal pagi tadi.

Tambah Kamarul Zaman, suspek ditahan kerana memiliki syahu seberat 10.7 gram dan disiasat di bawah Seksyen 39-A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua individu ditahan berumur diantara 18 hingga 60 tahun termasuk tiga wanita didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing.

Daripada jumlah itu, seramai 41 individu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan seorang individu berstatus dikehendaki.

Semua yang di tahan dibawa ke Balai Polis Bayu Damai Kota Tinggi Johor bagi membantu siasatan dibawah dibawah Seksyen 15 kurungan 1 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 kurungan 2 akta yang sama dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Operasi dijalankan seramai 16 pegawai dan 44 anggota bermula 12 tengah malam tadi berakhir jam 11 pagi hari ini.- MalaysiaGazette