Joanna Yu Ging Ping. foto NOOREEZA HASHIM, 31 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-41 perbicaraan penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, memberitahu mahkamah yang Low Taek Jho atau Jho Low selalu memetik nama-nama orang kenamaan ketika dalam mesyuarat atau pertemuan.

Kata Joanna Yu Gan Ping yang juga bekas Pengurus Perhubungan Ambank itu, Jho Low sering mendakwa dirinya rapat dengan ramai pemimpin Timur Tengah namun dirinya tidak pasti siapakah yang dimaksudkan oleh ahli perniagaan yang dalam buruan itu.

Ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Joanna mendakwa Jho Low juga selalu memetik nama ‘perdana menteri’ ketika dalam sesuatu mesyuarat.

Bagaimanapun saksi itu memberitahu dirinya tidak pernah bertemu dengan Najib ketika menguruskan akaun peribadi bekas perdana menteri itu di Ambank selama ini.

Untuk makluman, Joanna juga merupakan antara pegawai Ambank yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga akaun peribadi Najib ketika beliau memegang jawatan nombor satu itu.

Namun ketika Muhammad Shafee bertanya dengan lebih lanjut, dakwa Joanna, antara nama dipetik oleh Jho Low termasuklah Putera Mahkota Saudi, Ratu Rania Jordan, Putera Turki Saudi selain Tarek Obaid yang turut dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3bilion.

Kata Joanna lagi, Jho Low akan menyebut nama-nama itu secara tidak langsung ketika sedang bermesyuarat termasuklah di hadapan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Selain itu, dakwa Joanna, nama Najib juga disebut oleh Jho Low.

Ketika Muhammad Shafee bertanya tentang perwatakan Jho Low, Joanna berkata, ahli perniagaan itu seorang yang suka datang lambat dan seringkali memberikan tanggapan dirinya seorang ahli perniagaan yang hebat.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu Jho Low tidak habis belajar dan telah digugurkan dari Wharton School University of Pennsylvania?

Joanna: Saya tidak tahu. Setahu saya Jho Low banyak memberikan tanggapan dirinya seorang yang hebat.

Dalam pada itu, ada kalanya prosiding menjadi hangat dan kecoh apabila jawapan-jawapan yang diberikan oleh Joanna tidak memuaskan hati Muhammad Shafee.

“Saya minta awak ‘ayam’ anda beri saya ‘itik’,” tegas Muhammad Shafee tanda tidak berpuas hati.

Prosiding akan bersambung esok pagi.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast