Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya mengenakan surcaj elektrik yang munasabah ke atas kilang-kilang eksport pada tingkat pengunaan yang paling tinggi.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, surcaj itu adil kerana kos elektrik di negara-negara lain adalah sangat tinggi.

Menurut beliau, selepas dikenakan surcaj yang munasabah itu pun, harga elektrik bagi kilang di negara ini dijangka masih lebih rendah berbanding negara asing agar daya penarikan pelaburan asing ke Malaysia tidak terjejas.

“Lagi pun, tak masuk akal bahawa pengguna elektrik domestik rakyat Malaysia perlu membayar tarif lebih tinggi berbanding kilang eksport besar yang dimiliki pelabur asing.

“Hasil dari surcaj ini mampu dialihkan untuk menjimatkan beban subsidi kerajaan secara terus atau pun diberi semula sebagai bantuan kepada rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan tentang sejuta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tergolong dalam kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat disalurkan semula ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.

Pentadbir laman Facebook NajibĀ  menambah, kilang-kilang eksport boleh memohon untuk dikecualikan surcaj tersebut dengan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pengeluaran mereka dibekal kepada pasaran tempatan terutamanya jika bekalan mereka mempunyai impak ke atas kos barang-barang bagi pasaran tempatan.

“Langkah ini juga boleh memastikan permintaan pasaran tempatan dapat dipenuhi dan kita tidak mengalami masalah kekurangan bekalan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa isu tersebut pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran Facebook pada 26 Jun lalu.

Ketika itu, Najib memberi perbandingan mengenai tarif domestik boleh mencecah sehingga 57.10 sen/kWj manakala tarif bagi kilang adalah antara 20.20 sen/kWj hingga 44.10 sen/kWj.

“Ini bermaksud kerajaan sedang memberi subsidi yang tinggi kepada pemilik kilang-kilang eksport termasuk yang dimiliki orang asing.

“Secara tidak langsung, pengguna asing yang dibekalkan kilang-kilang eksport turut mendapat subsidi kerajaan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette