Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail . Foto FAREEZ FADZIL, 13 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang telah diluluskan di Parlimen sebagai undang-undang akan mula dikuatkuasakan mulai Jun 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan terperinci dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai tarikh penguatkuasaan IPCC itu.

“Dengan Datuk Wan Ahmad kita sudah bincang, bulan enam (Jun) ini (2023) akan berkuatkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bukit Aman selepas mengadakan Lawatan Kerja dan sesi taklimat bersama pengurusan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Turut hadir ke Lawatan Kerja itu adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Samsul Annuar Nasarah.

Sebelum ini, Parlimen pada 26 Julai lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) IPCC 2020 bagi mempertingkatkan integriti pasukan PDRM bertujuan untuk mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.

Sebelum dibentang di Parlimen, proses penggubalannya IPCC membabitkan libat urus dengan seramai 1,059 orang selain menganjurkan sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

IPCC akan memberi kuasa penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Badan itu dibentuk selepas kajian dan perbandingan dibuat antara Independent Office for Police Conduct (United Kingdom) dan Independent Police Complaints Council (Hong Kong) yang mana negara itu mempunyai badan pemantau bebas mengawal selia kelakuan tugas penguatkuasa keselamatan.

Justeru, keanggotaan dalam IPCC adalah terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan apa-apa perkara lain yang akan ditentukan kemudian.

Bagi membolehkan siasatan IPCC dijalankan secara inklusif dan komprehensif, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC terutamanya bagi kes kematian dalam tahanan.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Saifuddin juga memaklumkan Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) akan terus dikuatkuasakan untuk menjamin keselamatan rakyat di negara ini.

Malah, katanya, polis telah mematuhi segala proses penguatkuasaan dalam melaksanakan Akta Kesalahan Keselamatan dan undang-undang itu selama ini.

“Saya mahu ulangi iaitu yang pertama apabila tindakan tangkapan dibuat, sudah tentu dia berasas maklumat risikan ke atas kumpulan atau kegiatan yang membawa kemudaratan dan ancaman kepada keselamatan rakyat. Itu menjadi asas kepada tindakan polis kalau dia letak bawah SOSMA.

“Dia harus ikut segala proses yang dibenarkan oleh SOSMA. Pada masa sekarang, proses itu dipatuhi dan ada juga (individu) SOSMA yang ditahan dan dilepaskan atau diadili di mahkamah dan kes tahanan SOSMA menang melalui khidmat peguam pun ada.

“Tidak semua tahanan SOSMA berakhir dengan berada dalam penjara sebab proses itu adalah proses yang dipatuhi seperti termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette