zool amali hussin umno parti
Zool Amali Hussin

SEREMBAN – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dikatakan akan meninggalkan parti itu untuk menyertai Pas dalam masa terdekat.

Desas-desus mengenai perkara itu semakin hangat apabila beliau menyiarkan poster dalam laman Facebook miliknya malam tadi berhubung majlis penyerahan borang keahlian Pas dan sidang media di kediaman beliau di sini, Sabtu ini.

“Dijemput semua sahabat-sahabat yang ingin bersama-sama. Insya-Allah kaunter borang keahlian juga disediakan untuk sesiapa yang berminat untuk bersama-sama. Salam perjuangan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Poster yang disiarkan dalam laman Facebook Zool Amali Hussin. (Gambar: Facebook Bozz Jebat)

Selain itu, laporan sebuah portal berita yang memetik sumber menyatakan, beliau yang juga Presiden Brotherhood Negeri Sembilan akan mengumumkan penyertaannya dalam Pas hari ini.

Walau bagaimanapun, Zool Amali ketika dihubungi MalaysiaGazette menafikan laporan tersebut sambil menyatakan bahawa beliau belum menyerahkan borang keahlian Pas lagi.

“Sabtu baru saya buat sidang media dan penyerahan borang keahlian. Harap pihak media semua bertenang. Saya belum buat kenyataan kepada mana-mana portal pun,” jelasnya.

Semalam, Zool Amali yang popular dengan gelaran Bozz Jebat turut menyiarkan rakaman video dalam laman Facebook miliknya yang menunjukkan beliau mengisi borang keahlian Pas.

Beliau merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang mengkritik kepimpinan parti terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahad lalu, Zool Amali mengumumkan telah memohon untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai bekas pemimpin kanan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Elok sangat tu. Ada pun habis ksn beras. Ini lah umat yang tak ads msss depan politik. Jial goreng pisang crispy aje lah.

  2. Elokla tu.. ada tak menambah.. tak de pun tak mengurang. Harap2 PRN N9 ada kerusi yg dihajati. Mana tau menang ada chance jd mb n9

Comments are closed.