KUALA LUMPUR – Buah limau mandarin akan mula dijual di pasaran mulai minggu ini, tetapi harganya adalah sedikit lebih mahal berbanding tahun lalu.
China Press melaporkan, walaupun kos perkapalan telah menurun, tetapi hasil tuaian yang menurun telah mendorong kenaikan harga.
Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur, Chen Yu Mei berkata, pengeluaran limau mandarin berkurangan kira-kira 20 hingga 30 peratus, menyebabkan harga untuk limau semua saiz mengalami kenaikan harga.
“Faktor cuaca bagaimanapun membolehkan tuaian buah yang lebih manis,” katanya.
Menurutnya, kontena buah limau telah tiba di pelabuhan secara berperingkat sejak minggu lalu dan dijangka akan sampai ke pasar-pasar borong minggu ini.
Katanya, harga borong semasa untuk Lokam 4 kilogram adalah RM18 untuk limau bersaiz M, RM22 untuk saiz L dan RM28 untuk XL. – MalaysiaGazette