Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian graduan pada Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komuditi Malaysia (IMPAC) ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Satu majlis menandatangani perjanjian bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan mengambil tempat esok.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang sudi untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

“Esok akan ada upacara menandatangani satu perjanjian antara semua parti-parti yang bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Di situ nanti (wartawan) boleh bertanya nanti apakah kandungan perjanjian tersebut. Apakah fokusnya.

“Salah satu keutamaan kita adalah berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini pagi ini.

Jelas Fadillah lagi, pertemuan itu akan diatur pejabat Perdana Menteri (PMO) dan akan hanya diwakili ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau akan turut menghadiri satu mesyuarat yang akan diadakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum majlis tersebut diadakan.

“Pertemuan dengan kesemua ketua parti sudah berbincang malah saya akan balik untuk adakan mesyuarat di peringkat GPS,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, pemotongan gaji hanya diputuskan kepada menteri sahaja dan belum lagi merangkumi pemotongan bagi timbalan menteri.

“Setakat ini diputuskan hanya menteri. Saya tak pasti sama ada merangkumi timbalan menteri,” katanya lagi.

Pada mesyuarat Jemaah Menteri pertama yang diadakan pada 5 Disember lalu, semua jemaah bersetuju memotong gaji bulanan mereka sebanyak 20 peratus.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette