BATANG KALI – Kira-kira 20 orang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong serta ahli keluarga mereka adalah antara yang berada di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, yang dilanda tanah runtuh awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan U Chin Ong ketika ditemui pemberita di Balai Polis Hulu Yam Bharu hari ini.
U berkata mengikut maklumat diterimanya, setakat ini beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
U berkata guru sekolah itu bersama keluarga mereka ke tapak perkhemahan tersebut untuk bercuti selama tiga hari sejak Rabu lepas kerana merasakan kawasan berkenaan selamat.
“Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini,” katanya.
“Kali terakhir tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016 namun tidak seteruk ini,” katanya.
— BERNAMA