Najib Altantuya
Najib Razak melafazkan sumpah laknat menafikan beliau mengarahkan Azilah Hadri membunuh Altantuya Shaaribuu di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 20 Disember 2019.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan kerajaan dan tiga yang lain membayar ganti rugi RM5 juta kepada keluarga wanita Mongolia, Altantuya Shariibu diharap dapat menghentikan fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, fitnah kononnya Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya telah dimainkan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Najib bukan antara empat defendan termasuk kerajaan Malaysia yang disaman oleh keluarga Altantuya.

“Ini bermakna bahawa keluarga Altantuya juga mengaku bahawa Najib tidak terlibat dalam kematian anak perempuan mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, veteran DAP, Lim Kit Siang juga dikatakan sudah lama mengaku bahawa Najib tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya; bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais; pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi dan bekas Setiausaha Politik seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu semasa prosiding dalam talian hari ini selepas mendapati keluarga Altantuya berjaya membuktikan dakwaan mereka atas imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Artikel berkaitan: Keluarga Altantuya menang kes saman, dapat ganti rugi RM5 juta

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, serta isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan anak lelaki Altantuya Mungunshagai memfailkan saman terhadap mereka, mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhannya.

Altantuya dibunuh pada 2006 di hutan di Puncak Alam dengan satu tembakan di kepala sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.

Azilah Hadri dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya.

Abdul Razak, yang merupakan pembantu kepada Najib yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu, didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka, namun beliau kemudian dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Nasi sudah menjadi bubur, fitnah2 spt ini juga telah menyumbangkan kpd kekalahan teruk umno. Harap Najib dapat memulakan saman fitnah terhadap bapa fitnah negara dari parti chauvanis tu…

Comments are closed.