Foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mempertaruhkan dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dam Sergio Aguero bagi menghadapi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 yang akan membuka tirai minggu depan.

Dua pemain Sri Pahang FC itu disenaraikan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dalam senarai akhir 23 pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini

Menurut kenyataan FAM, pemain kacukan, Dion Cools tidak termasuk dalam senarai kerana mempunyai urusan peribadi.

“Lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani; Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan serta Dion Cools (urusan peribadi),” kata FAM.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon, Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh, 27 Disember.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023. – MalaysiaGazette