GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm di Batang Kali, Selangor.
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, suruhanjaya itu juga perlu mencari langkah pencegahan dan pemulihan kawasan yang terjejas dengan insiden itu.
Jelasnya, punca tragedi itu mesti didedahkan secara terbuka.
“SAM terkejut apabila mengetahui tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang telah meragut beberapa nyawa termasuk kanak-kanak.
“Sebelum ini kami telah memberi amaran berkali-kali tentang membenarkan kerja tanah dan bentuk aktiviti lain di tanah tinggi dan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.
“Jadi perlu ada moratorium ke atas semua pembangunan cerun bukit termasuk semakan menyeluruh tentang betapa terdedah atau berdaya tahan kawasan ini terhadap peningkatan intensiti dan kekerapan hujan akibat perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, SAM juga mahu siasatan dilakukan terhadap pemilik ladang berkenaan yang membuka tapak perkhemahan di kawasan itu.
”Siasatan juga perlu dibuat bagi memastikan sama ada langkah keselamatan telah diambil oleh pemilik bagi mengelakkan risiko kepada pengunjung.
“Selain itu, mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa tragedi tanah runtuh itu mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Meenakshi turut meminta kerajaan mempercepatkan Pelan Adaptasi Nasional untuk mengenal pasti kawasan yang terdedah dan berisiko tinggi kepada kesan iklim dan mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim.
“Terdapat banyak kawasan berisiko tinggi di mana boleh berlaku tanah runtuh yang harus di pantau oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, 16 mangsa dilaporkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Jalan Genting Gohtong Jaya. – MalaysiaGazette