PUTRAJAYA – Salah satu parti yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan, Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu Perjanjian Malaysia (MA) 1963 dipercepatkan segera.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia selaras dengan pemeteraian MoU antara gabungan politik bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami tahu dalam keadaan negara pada hari ini ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak harus dijadikan alasan. Kita tidak boleh pula menggunakan alasan sehingga tertangguh tahun ke tahun dan kalau itu menjadi alasan kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita boleh berbelanja berbilion untuk perkara lain kenapa tidak boleh belanja pula untuk prasarana, sekolah air dan elektrik di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas menghadiri pemeteraian MoU di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama empat lagi presiden parti.
Mohd. Shafie juga mahu faktor kewangan tidak dijadikan alasan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.
Katanya, jika MA63 dapat direalisasikan kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak maka inilah negara yang diidam-idamkan.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pada pentadbiran terdahulu, ada perkara berkenaan MA63 sudah diselesaikan namun, ada beberapa perkara yang masih tertangguh.
“Saya berharap ia dapat diperhalusi segera kerana ia turut membabitkan kelulusan kerajaan pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette