BATANG KALI – Pengurus Father’s Organic Farm telah dipanggil polis bagi membantu siasatan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali awal pagi semalam yang mengorbankan 23 nyawa setakat hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, individu itu telah dirakam keterangan selepas didapati melakukan kesalahan mengoperasikan tapak perkhemahan itu tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
“Kita panggil dia pada hari ini untuk dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan berkaitan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan ini pada awal pagi Jumaat.
“Kemudian kita akan mengambil tindakan susulan yang tegas,” katanya dalam sidang media perkembangan terbaharu mengenai insiden tanah runtuh di lokasi Jalan Batang Kali – Genting Higlands hari ini.
Tambah Suffian, dua lagi mayat mangsa telah ditemui dan dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat iaitu membabitkan seorang wanita dewasa dan kanak- kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan ibu dan anak di tapak runtuhan itu.
Semalam Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, operator kebun organik tersebut tidak mempunyai permit untuk operasi tapak perkhemahan itu sejak 2020.
Hasil pemeriksaan dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor juga mendapati pengurus itu hanya diluluskan kebenaran untuk mengendalikan kebun organik.
Katanya, tindakan tegas akan menyusul ke atas mana-mana operator yang didapati mengadakan aktiviti perkhemahan tanpa kebenaran dan permit sah dari PBT. -MalaysiaGazette