GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempertahankan tindakannya yang memberi amaran terhadap empat ubat batuk yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak di Gambia walaupun pengeluar ubat India menegaskan ubat itu mematuhi spesifikasi selepas ia diuji.
WHO telah mengeluarkan amaran pada bulan Oktober menasihati pengawal selia untuk menghentikan penjualan ubat tersebut.
Seorang pegawai kerajaan India mendakwa WHO begitu lancang menyalahkan ubat berkenaan.
Namun, WHO berkata, ia hanya mematuhi mandatnya.
“Mandat WHO adalah untuk mengeluarkan amaran global tentang potensi risiko. WHO tetap dengan tindakan yang diambil,” kata seorang pegawainya.
Badan kesihatan itu mendakwa “sirap yang tercemar adalah berbahaya dan tidak sepatutnya berada dalam mana-mana kandungan ubat”.
Pada akhir Julai, pihak berkuasa perubatan di Gambia mengesan peningkatan kes kecederaan buah pinggang akut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Kerajaan kemudian berkata, kira-kira 69 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan ini.
Pada bulan Oktober, WHO berkata, kematian ini mungkin dikaitkan dengan empat sirap batuk yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals, sebuah firma India.
WHO telah menguji sampel sirap – Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup – dan mendapati ia mengandungi “jumlah dietilena glikol dan etilena glikol yang tidak boleh diterima sebagai bahan cemar”.
Dietilena glikol dan etilena glikol adalah toksik kepada manusia dan boleh membawa maut jika dimakan.
India kemudian memaklumkan sedang menyiasat produk itu dan mengarahkan Maiden Pharmaceuticals menghentikan pengeluaran di kilang utamanya di negeri utara Haryana.
Pada 13 Disember, Dr VG Somani, Ketua Pengawal Dadah India, menulis surat kepada WHO mengatakan bahawa sampel yang diuji di makmal kerajaan “didapati tidak tercemar” dengan sebatian itu.
“Mengikut laporan ujian yang diterima daripada makmal kerajaan, kesemua sampel kawalan empat produk itu didapati mematuhi spesifikasi,” katanya.
Keputusan ujian sedang diperiksa lebih lanjut oleh panel pakar India. – Agensi