BATANG KALI – Pada mulanya, sukar untuk Mohd Firdaus Abd Samad mempercayai laporan awal yang diterimanya mengatakan hampir 100 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini kerana jumlahnya terlalu besar.
Itulah reaksi awal Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Selangor itu ketika ditanya pengalamannya sebagai seorang daripada anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden malang berkenaan.
Setelah terima pengesahan dari pihak berkuasa termasuk polis, saya bersama Pegawai APM Hilmi Husman dan lima anggota yang lain bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Bernama tengah malam ini.
Mohd Firdaus berkata setibanya di lokasi, selain kelibat pasukan-pasukan keselamatan yang lain, situasi di lokasi kejadian sangat hiruk-pikuk dan menyedihkan dengan suara jeritan meminta bantuan daripada mangsa kedengaran hampir dari segenap arah.
Menurutnya, keadaan yang berselut mencecah paras lutut dan tanah yang licin menyukarkan pergerakan mereka memberi bantuan kepada mangsa, selain bimbang mungkin berlaku siri runtuhan yang lain.
“Ada satu kejadian yang menyedihkan buat saya, seorang mangsa lelaki memberitahu kami isteri dan anaknya ada di dalam kereta mereka yang turut terkesan dengan runtuhan itu. Dia menjerit memberitahu supaya pasangannya terus menekan hon supaya mudah untuk kami mengesan kedudukannya.
Dalam timbunan tanah dan kereta yang berselerakan, kami terus mencari arah hon kereta mangsa. Tidak lama selepas itu kami menemui kereta yang dimaksudkan lelaki berkenaan, dengan di dalamnya memang ada isteri dan anaknya.
“Dalam keadaan lemah, wanita itu meminta kami menyelamatkan anaknya terlebih dahulu. Ketika sudah berjaya mencapai si anak, saya segera memeluknya. Bagaimanapun, ketika itu, terdetik dalam fikiran saya bahawa kanak-kanak malang itu sebenarnya sudah meninggal dunia. Jelas dia pucat, sejuk dan tidak lagi bernadi,” katanya.
Firdaus berkata dengan pengalaman selama 17 tahun di dalam APM yang mengajarnya menjadi profesional, beliau dan pasukannya kekal tenang mengeluarkan si anak diikuti isteri mangsa selepas itu.
APM adalah antara lima agensi utama terlibat dalam misi SAR mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang kini memasuki hari ketiga.
Setakat petang semalam, 24 mangsa telah disahkan terkorban dengan sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat berdasarkan maklumat rasmi Polis Diraja Malaysia.
Tinjauan Bernama setakat 2 pagi ini, keadaan lengang dengan hanya pergerakan keluar masuk kenderaan agensi penyelamat di Pos Kawasan Pusat Kejadian (PKTK).
Operasi SAR ditamatkan pada pukul 4 pagi dan disambung semula 9 pagi nanti.
— BERNAMA