BANGKOK – Seramai 31 tentera laut hilang selepas sebuah kapal jenis korvet yang membawa lebih 100 anak kapal karam di Teluk Thailand.
Kapal HTMAS Sukhotai karam selepas air membanjiri sistem kawalan kuasa semalam.
Pihak berkuasa hari ini berkata, 75 anak kapal berjaya diselamatkan, manakala 31 lagi masih hilang di laut.
Jurucakap, Laksamana Pogkrong Monthardpalin berkata, kejadian tersebut tidak pernah berlaku dalam sejarah tentera laut, terutama kepada kapal yang masih aktif digunakan, lapor BBC.
Difahamkan, semasa sistem kawalan kuasa tiada, anak kapal berusaha untuk mengekalkan kawalan kapal sebelum ia tenggelam kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan.
Kejadian berlaku ketika kapal itu sedang melakukan rondaan sejauh 32 kilometer (20 batu) barat Bang Saphan, di wilayah Prachuap Khiri Khan, apabila ia terperangkap dalam ribut semalam.
Tentera laut Thailand turut memuat naik gambar di akaun Twitter yang menunjukkan sekumpulan anggota cuba mencari dan menyelamatkan mangsa dalam keadaan laut bergelora.
Tiga kapal tentera laut dan helikopter dihantar untuk membantu mencari frigat HTMAS Kraburi yang tenggelam.
Tentera laut berkata, frigat itu mengambil majoriti anak kapal di atas kapal Sukhotai, manakala anak kapal yang memakai jaket keselamatan ditemui di dalam bot penyelamat.
HTMS Sukothai dibina untuk tentera laut Thailand di Amerika Syarikat pada pertengahan 1980-an. – Agensi