Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited memastikan ketersediaan perkhidmatan menggunakan teknologi komunikasi bagi operasi menyelamat (SAR) dan pelaporan media pada tahap terbaik di kawasan kejadian tanah runtuh  Batang Kali, Selangor.

SKMM berkata,  perkhidmatan utama TM, Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah diarahkan menggerakkan aset komunikasi di tempat kejadian sejak 16 Disember lalu.

Selain itu, SKMM telah meminta bantuan dari pihak NGO iaitu Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur bagi kegunaan para peneyelamat berhubung secara pantas.

Semua penyedia perkhidmatan terlibat berjaya memberikan perkhidmatan masing-masing melalui Coverage on Wheels (COW) dalam memberikan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada misi SAR dan pengamal-pengamal media di tapak bencana.

“Pemantauan MCMC mendapati kesemua penyedia perkhidmatan telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50Mbps.

“Selain itu pihak TM juga telah menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800Mbps di khemah ATM, APM, JBPM dan PDRM operasi SAR.

“Manakala satu Access Point sama juga telah diletakkan di Trak Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku penyelaras kepada pengamal-pengamal media,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, SKMM cakna saranan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi di kawasan bencana.

SKMM juga akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada. -MalaysiaGazette