KUALA LUMPUR – Trafik penumpang udara pada tahun 2023 akan berkembang antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun, antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.
Jangkaan ini didorong oleh pemulihan pasaran-pasaran utama secara beransur bermula dari 4S22 serta perancangan syarikat penerbangan tempatan, termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, AirAsia X, dan Batik Air untuk memulihkan kapasiti dan meningkatkan kekerapan, terutamanya ke destinasi-destinasi popular seperti Hong Kong, Jepun, Taiwan, Australia, dan Timur Tengah.
Trafik kargo udara bagi tahun 2023 diramalkan berkembang antara 3.0 peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun kepada antara 22.4 bilion dan 22.8 bilion Freight Tonne Kilometre (FTK) disebabkan pertumbuhan berterusan sektor e-dagang dan elektrik dan elektronik (E&E).
Walau bagaimanapun, industri penerbangan berkemungkinan menghadapi beberapa cabaran pada tahun hadapan, seperti tekanan inflasi yang berterusan, kenaikan kadar faedah serta kebimbangan kemelesetan.
Menurut Laporan Waypoint bulan Disember Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), jumlah trafik penumpang udara memuncak kepada 15.6 juta pada suku ketiga tahun ini, mencapai jumlah tertinggi sejak permulaan penularan wabak pandemik Covid-19.
Kesan asas yang rendah serta pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia secara sepenuhnya pada bulan April 2022 merupakan faktor-faktor penyumbang kepada peningkatan trafik penumpang sebanyak 1,434.3 peratus tahun-ke-tahun.
Trafik penumpang domestik mencecah 71.3 peratus, manakala, trafik penumpang antarabangsa mencecah 38.6 peratus tahap trafik penumpang pra-pandemik, mewakili pemulihan keseluruhan sebanyak 55.9 peratus berbanding suku yang sama pada tahun 2019 (suku ketiga 2019).
Peningkatan ini menjadikan jumlah trafik penumpang pada 10 bulan pertama tahun 2022 mencapai 42.2 juta, mengatasi jumlah trafik kumulatif penumpang pada tahun 2020 dan 2021.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, prestasi ini menunjukkan pemulihan ketara trafik penumpang ke Malaysia dipacu oleh penyambungan semula dan pengenalan laluan perkhidmatan udara baharu oleh syarikat penerbangan tempatan serta kelonggaran sekatan perjalanan di seluruh dunia.
Menurutnya, Mavcom menjangkakan trafik penumpang udara Malaysia pada tahun 2022 dapat melangkaui ramalan senario terbaik dengan bilangan tempat duduk penerbangan tertinggi dijadualkan pada suku akhir tahun 2022 (4S22).
Dalam pada itu, berdasarkan Indeks Kesalinghubungan Udara Mavcom, kedudukan Malaysia sebagai negara dengan kesalinghubungan tertinggi di ASEAN pada suku ketiga tahun ini mengalami penurunan daripada tempat kelima kepada tempat keenam, sebahagiannya disebabkan oleh dasar sifar Covid-19 di China, yang menyebabkan ketersediaan bilangan slot yang terhad ke China.
Walaupun Malaysia menawarkan lebih banyak tempat duduk dan destinasi antarabangsa, penjadualan peratusan kerusi antarabangsa yang lebih tinggi ke lapangan-lapangan terbang yang mempunyai pemberat yang rendah secara langsung menyumbang kepada penurunan kedudukan tersebut.
Di samping itu, Lapangan Terbang Antarabangsa KL mencapai kedudukan keempat bagi lapangan terbang dengan kesalinghubungan udara tertinggi di ASEAN, di belakang Lapangan Terbang Changi di Singapura, Suvarnabhumi – Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Baharu di Thailand, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Filipina.
”Fokus harus diberikan kepada kesalinghubungan udara yang terus menjadi pemacu signifikan pertumbuhan ekonomi, dan oleh itu, kita perlu mengkaji semula kualiti kesalinghubungan udara Malaysia dan menyelaraskan perkembangan masa hadapan industri sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi negara.”
”Walaupun dasar sifar Covid-19 di China masih menjejaskan jumlah trafik penumpang, baik di Malaysia mahupun di peringkat global, pemulihan berterusan dalam pasaran-pasaran antarabangsa yang lain telah mengurangkan kesannya.
”Justeru, Mavcom yakin Malaysia berada di landasan yang baik dalam pemulihannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette