Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya majikan sebuah syarikat bagi menyerahkan RM800 pada Mei tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya majikannya supaya menyerahkan wang sebanyak RM800 pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Hong Yen How, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Yen How didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada jam 2.38 petang pada 25 Mei 2021, di Maybank Berhad cawangan Kelapa Sawit, Kulai.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Wong Lee Na, 45, dengan memperdaya supaya mempercayai bahawa sembilan pekerjanya disenaraihitamkan oleh Pegawai Syarikat Keselamatan ERS Energy Sdn Bhd dan tidak dibenarkan masuk ke tapak projek loji janakuasa solar fotovoltan berskala besar di Pekan, Pahang.

Tindakan itu mendorong Lee Na supaya membuat pembayaran atas talian sebanyak RM800 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Sedangkan tertuduh mengetahui bahawa senarai hitam berkenaan tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili oleh peguambela Farah Farhana Effendi Onn.

Terdahulu Rifah mencadangkan wang jaminan RM10,000 dikenakan ke atas tertuduh namun peguamnya memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM500 kerana dia tidak memiliki pendapatan tetap.

Tertuduh juga menyara isteri serta empat cahaya mata serta ibu bapa.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

Ahmad Jamal Arifin juga menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.-MalaysiaGazette