khaled nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir yang beroperasi 24 jam bermula 18 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lima saluran talian telefon dan satu e-mel dibuka bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan kecemasan.

“Pada masa yang sama juga, Bilik Gerakan Peringkat Universiti Awam (UA) turut dibuka dan dikendalikan oleh UA masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, setakat ini, KPT telah meluluskan serta-merta peruntukan sebanyak RM2 juta untuk tujuan penyediaan bantuan dan juga kebajikan warga KPT, Jabatan dan Agensi di bawah KPT, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Tambahnya, melalui Briged Sukarelawan IPT, sehingga 20 Disember 2022, seramai 7,741 sukarelawan yang terdiri daripada 726 staf dan 7,015 pelajar dari seluruh negara telah digerakkan bagi mengedarkan bantuan kotak makanan, pakaian, wang tunai, peranti dan kit kebersihan.

Kata beliau,  KPT turut menggerakkan pasukan khas bagi menawarkan khidmat sokongan psikologi kepada para mangsa yang terkesan.

“Dari segi logistik, sejumlah 61 buah bas/coaster, 38 buah SUB/4WD, 37 buah van, 17 buah lori, dan 3 buah bot telah dilibatkan.

“Briged Sukarelawan IPT turut menyediakan 80 unit waterjet, 21 buah waterpump dan 15 unit generator bagi membantu dan mempermudah kerja-kerja pemulihan di kawasan yang terkesan,” ujarnya.

Terdapat tiga buah fasiliti di bawah KPT telah didaftarkan sebagai PPS, iaitu Kolej Komuniti Bentong, Pahang, Politeknik Mersing, Johor dan Politeknik Kok Lanas, Kelantan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, sehingga kini, seramai 5,404 warga KPT dan pelajar IPT telah terkesan.

Katanya, Ini merangkumi 5,268 pelajar dan 136 staf, antaranya, daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Politeknik Hulu Terengganu (PHT).

Pihak universiti, politeknik dan kolej komuniti yang terjejas telah dinasihatkan untuk memberikan keanjalan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sama ada secara dalam talian, mod asynchronous, hibrid atau tangguhkan PdP mengikut tahap keseriusan bencana yang dihadapi di kawasan masing-masing, tambah beliau. – MalaysiaGazette