BATANG KALI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan baki sembilan mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, yang memasuki hari kelima turut menggunakan dron.
Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan dron itu membuat pemantauan di sekitar kawasan bencana tersebut kira-kira 10 minit.
Visual pemantauan itu turut dikongsikan pihak polis dengan petugas media menerusi skrin televisyen LCD yang dipasang di sebuah kenderaan milik Jabatan Penerangan Malaysia di Jalan Gohtong Jaya-Batang Kali, di sini.
Ia susulan operasi SAR yang memasuki hari kelima itu tidak lagi membenarkan petugas media membuat liputan di dalam kawasan bencana susulan kejadian kemalangan kecil yang berlaku, semalam.
Visual pemantauan dron yang dipaparkan itu dibuat secara langsung terus daripada unit pemantauan udara melibatkan keluasan 0.4 hektar tapak perkhemahan yang berdekatan Genting Highlands.
Dalam visual itu, pihak polis memaparkan beberapa jengkaut sedang giat mengorek timbunan tanah yang runtuh bagi mengesan baki sembilan mangsa yang masih hilang.
Turut ditunjukkan tujuh kenderaan yang ranap dan rosak teruk ditimpa timbunan tanah dalam kejadian bencana alam itu. – MalaysiaGazette