Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Sebanyak dua laporan diterima polis Hulu Selangor mengenai insiden orang hilang yang melibatkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, setakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua laporan itu termasuk satu laporan yang diterima pihaknya semalam.

“Setakat ini yang kita terima ada dua laporan polis termasuk semalam dan pihak kami sedang buat semakan,” katanya pada sidang media di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pihak polis masih mengekalkan jumlah mangsa yang masih hilang hanya sembilan individu.

“Kita masih mengekalkan anggaran yang asal iaitu sembilan orang.

“Jumlah mangsa ini kita dapat angka itu daripada pengurus tapak perkhemahan ini,” jelasnya.

Ditanya tentang butiran dua laporan polis yang diterima mewakili sembilan mangsa terbabit, beliau memberitahu, pihaknya masih menyiasat perkara itu.

“Kita tengah buat butiran, kita kena buat semakan dengan teliti, kita tak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Kita perlu lihat daripada pelbagai sumber, buat perbandingan daripada pengurus, pekerja dan mana-mana pihak untuk kita dapatkan maklumat terperinci dan lebih benar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast