KUALA LUMPUR – PLUS menjangkakan lonjakan trafik kepada 2 juta kenderaan sehari bersempena dengan cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, lebih daripada 1.8 juta kenderaan direkodkan secara konsisten berikutan bermulanya cuti sekolah.
Oleh itu, pelanggan lebuh raya disarankan untuk mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA).
Pada masa yang sama, pelanggan juga dinasihatkan bersedia untuk menempuh tempoh perjalanan yang lebih panjang disebabkan lonjakan trafik ini.
Menurutnya, bagi perjalanan dari Lembah Klang ke utara – Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta Johor (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023), pelanggan dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
Untuk perjalanan ke Lembah Klang pula (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023), pengguna dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi untuk perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain.
”TTA bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutamanya di laluan-laluan kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini. Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat,” ujar beliau.
Zakaria berkata, dengan mematuhi TTA, ia boleh memberikan pengalaman perjalanan pelanggan lebuh raya yang lebih baik
.
Selain daripada TTA, PLUS juga mengambil langkah lain bagi mengimbangi lonjakan trafik dan pada masa yang sama, menyediakan perjalanan yang lancar dan selesa ketika musim perayaan.
PLUS juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja dan tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember, dan di antara 30 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
Walau bagaimanapun, penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan, tambah beliau.
Beliau turut menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mereka bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh, termasuklah lebih berhati-hati ketika memandu pada musim hujan.
”Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik, mendapat rehat yang cukup, dan sediakan keperluan penting seperti air, susu tepung bayi, ubat-ubatan untuk orang tua dan makanan ringan di dalam kenderaan.
”Mereka digalakkan untuk berhenti rehat di kawasan rehat & rawat (R&R) atau hentian sebelah dari masa ke masa sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya.
Pelanggan lebuh raya turut diingatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-wallet mereka mempunyai baki yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – MalaysiaGazette