BALIK PULAU – Seorang pesalah muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis pada 13 Februari lalu.
Lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang sudah tidak bersekolah itu didapati sengaja telah mendatangkan kecederaan parah ke atas seorang anggota polis berusia 28 tahun dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC nombor pendaftaran PKE5363.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sungai Rusa dalam daerah Barat Daya pukul 2.47 pagi pada 13 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sampai 20 tahun, dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani tidak menawarkan sebarang jaminan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah kerana tertuduh merupakan pesalah muda selain meminta menetapkan syarat tambahan yang ketat sekiranya membenarkan tertuduh diikat jamin.
Bagaimanapun peguam, Y. Yogeswaran yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah memberikan jaminan paling minima atas alasan lelaki itu kini bekerja sambilan sebagai penjual mi untuk sambung belajar selain menyara dua adiknya yang masih bersekolah.
“Anak guam saya juga sudah kehilangan bapanya akibat kanser manakala ibunya pula tidak bekerja. Sehubungan itu, saya mohon mahkamah untuk mengambil kira faktor ini selain dia merupakan pesalah muda,” katanya.
Sebelum memutuskan jumlah jaminan, Huey Ting mempersoalkan kenapa lelaki tersebut bertindak melanggar anggota berkenaan dan dia memberi alasan motosikal ditungganginya tiada cukai jalan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 26 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















