Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (duduk) bersama Datuk Yunos Abd Ghani, Pengerusi Agrobank (kanan), Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (kiri) dan Tengku Ahmad Badli Shah (dua dari kiri) ketika lawatan ke ibu pejabat Agrobank semalam.

KUALA LUMPUR – Agrobank yang prihatin dengan para pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir mengumumkan Pelan Bantuan Banjir.

Pelan ini menawarkan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan sebagai sokongan membantu para pelanggannya yang terkesan berikutan kejadian banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.

Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.

Selain itu, Agrobank juga akan meletakkan perkara ini sebagai prioriti utama, juga akan turut menghubungi pelanggan-pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini.

Tengku Ahmad Badli berkata demikian selepas keputusan dibuat ketika lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank pada petang Selasa.

”Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian mereka.

”Sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan kami dilindungi dan dibantu. Justeru, sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat pelanggan-pelanggan kami, Pelan Bantuan Banjir ini telah dirangka khas khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast