Mangsa-mangsa sindiket penipuan tiba ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

SEPANG – Enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myamnar selamat tiba ke tanah air hari ini.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12 tengah hari dari Bangkok, Thailand bersama Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang.

Sim Chon Siang berkata, mangsa Muhammad Redzuan Arif Rashidi, 21 dan Mohd Farhan Azman, 19, dibebaskan oleh sindiket penipuan di Mae Sot berhampiran sempadan Thailand selepas mendapat tekanan kisah mereka tular di media sosial.

Katanya, mereka dibantu oleh individu perseorangan, Victor Wong untuk mengambil mangsa dan membawanya ke Balai Polis Mae Sot untuk diambil keterangan dan urusan dokumentasi.

“Mangsa ditawarkan bekerja sebagai housekeeping di Singapura dengan gaji S$1200.

“Bila tiba di Singapura, mereka diberitahu pekerjaan sudah penuh, jadi mereka ditawarkan bekerja di Bangkok, Thailand dengan gaji AS$1,100.

“Setibanya di Bangkok, pasport mereka dirampas dan dibawa ke Mae Sot berhampiran sempadan Thailand – Myanmar sebelum diseludup melalui jalan tikus di sebuah tempat bernama KK Garden Myanmar untuk dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dalam talian,” katanya pada sidang media selepas pulang ke tanah air bersama mangsa di KLIA.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang bercakap pada sidang media selepas tiba ke tanah air bersama mangsa penipuan di KLIA, hari ini.

Tambah Sim, empat lagi mangsa, Yong Ying Yien, 30; Felix Lim, 25,; Wong Chee Hoon, 27 dan Lim Han Hsin, 28 berjaya diselamatkan di Balai Polis Daerah Maeprik.

“Mereka sebelum ini turut dipaksa bekerja di KK Garden, namun prestasi mereka tidak begitu baik menyebabkan mereka dijual ke Laos.

“Semasa dalam perjalanan, mereka berjaya melarikan diri daripada sindiket penyeludupan manusia dan diselematkan oleh Thailand Security Liason Officer dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Jelas Sim, mangsa-mangsa mengadu didera mental dan fizikal, bekerja melebihi 15 jam sehari, diugut, dicabul kehormatan serta tidak diberi makan.

Menurut Sim, pihaknya masih berusaha mengesan lagi sembilan orang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Myawaddy, Myanmar selepas menerima aduan daripada ibu bapa mangsa yang minta pertolongan bantu anak-anak mereka.

“Seramai 1000 rakyat Malasia masih terkandas di Myawaddy, 300 di Kemboja dan 500 di Laos.

“Saya akan buat yang terbaik untuk selamatkan mereka dan harap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas terhadap ejen-ejen penipuan pekerjaan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengingatkan anak muda yang mencari pekerjaan supaya meneliti tawaran yang diberikan.

“Anak muda cubalah dapatkan pekerjaan melalui agensi kerajaan bukan ejen yang akhirnya memerangkap dan mengancam diri.

“Sekiranya mendapat tawaran pekerjaan di luar negara, lihat sama ada tawaran itu munasabah dengan gaji yang hendak diberi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast