MELAKA – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan asuhan ibunya tahun lalu.
Tertuduh, Musizzuddin Mohamad, 28, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan meraba payudara dan kemaluan mangsa yang berusia 11 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di alamat di Batang Tiga, Tanjung Kling, di sini pada kira-kira jam 7 pagi penghujung Februari tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad menawarkan jaminan sebanyak RM20,000.
Pihak pendakwaan turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi, melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali dalam sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada.
Tertuduh yang diwakili Peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya yang akan dijamin abang kandung tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Haderiah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 9 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
MalaysiaGazette pada 28 April lalu melaporkan seorang mekanik direman tujuh hari kerana disyaki mencabul anak asuhan ibunya sejak mangsa berumur 7 tahun. – MalaysiaGazette
















