PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri menasihati mangsa banjir di Pantai Timur agar mengutamakan keselamatan nyawa mereka dengan berpindah segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mangsa tidak perlu bimbang meninggalkan rumah mereka walaupun timbul kemungkinan dimasuki pencuri di kawasan yang mula surut.
Beliau memberi jaminan pihak polis akan sering membuat tinjauan untuk memastikan keselamatan rumah mangsa banjir yang tiada penghuni.
“Mangsa banjir perlu pindah ke PPS dan tidak perlu bimbang meninggalkan rumah mereka terutama di kawasan yang semakin surut.
“Kehadiran polis telah dikerahkan untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan keselamatan rumah mangsa yang ditinggalkan ketika berpindah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Ke Pantai Timur di sini hari ini.
Sejak malam tadi, mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang terus mencatatkan peningkatan berbanding petang tadi, manakala di Johor menunjukkan sedikit penurunan dan tiada perubahan jumlah mangsa di Perak.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29,717 orang daripada 8,214 keluarga berbanding 19,601 orang daripada 5,699 keluarga petang semalam.
Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam tadi berbanding 12,104 orang daripada 3,295 keluarga petang semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, mangsa banjir yang kehilangan kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi kendalian Kementerian Dalam Negeri akan diberikan dokumen tanpa bayaran.
Beliau berkata, buat masa ini, mangsa banjir perlu terlebih dahulu menumpukan soal keselamatan nyawa terlebih dahulu. – MalaysiaGazette