Dr Nor Azimi Yunus

KUANTAN : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang akan menambah pasukan perubatan dan kesihatan dari masa ke masa mengikut keperluan pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Pengarah JKNP, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, pihaknya telah menggerakkan 137 daripada 272 pasukan di daerah yang terkesan banjir sejak 17 November sehingga semalam.

Beliau berkata, pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di PPS, manakala pasukan kesihatan melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Apabila kapasiti mangsa banjir di sesebuah PPS itu besar, kami akan letakkan satu pasukan perubatan yang statik. Ia seolah-olah menyediakan sebuah klinik di PPS itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah meninjau keadaan di PPS SK Cherating, di sini yang menempatkan 138 mangsa daripada 39 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Menurur Nor Azimi lagi, sebanyak 1,014 orang mangsa banjir telah dibuat saringan gejala Covid-19 sebelum memasuki PPS dan tiada kes positif yang dilaporkan.

“Namun, daripada 1,014 manga banjir tersebut, 100 kes (9.9%) telah dikesan mempunyai masalah kesihatan lain seperti ‘Upper Respiratory Tract Infection‘ (62 kes), penyakit kulit (18 kes), bergejala demam (15 kes), ‘Acute Gastroentritis’ (3 kes) dan Konjuntivitis (2 kes),” jelasnya.

Selain itu, katanya, sebanyak 95 pasukan sokongan kesihatan mental (MHPSS) juga disediakan bagi menangani isu kesihatan mental di PPS di negeri ini.

Beliau berkata, pasukan itu sudah memberikan sokongan psikososial kepada 356 penduduk terjejas banjir dan 29 petugas barisan hadapan sehingga semalam.

“Antara aktiviti psiko sosial diberikan oleh pasukan itu adalah relaksasi, terapi seni dan psiko pendidikan,” tambah Nor Azimi.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), Hepatitis A, Tifoid dan Acute Gastroenteritis (AGE).

“Selain itu, mangsa banjir juga dinasihatkan mengguna alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti-aktiviti pembersihan pasca banjir bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti ‘leptospirosis’, ‘melioidosis’ dan penyakit bawaan air dan makanan yang lain,” kata Nor Azimi.

Untuk rekod, sejak 17 November sehingga semalam, terdapat 50 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut, Bera dan Kuantan dengan kumulatif mangsa seramai 2,965 orang.

Terdapat tiga buah PPS yang masih dibuka melibatkan daerah Kuantan sehingga jam 8 pagi tadi yang menempatkan seramai 221 orang mangsa banjir iaitu di PPS SK Sungai Ular, PPS SK Cherating dan PPS Surau Kampung Chendor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast