KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas bernilai RM150,000 buat rakyat Terengganu yang terkesan musibah banjir.
Antaranya, kit bencana, ‘refreshment’ kit, tikar, selimut tebal, selimut, kain batik, kain pelikat dan lampin pakai buang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, bantuan-bantuan ini telah pun digerakkan ke Terengganu pada jam 3 petang tadi,
Penghantaran fasa pertama itu dilancarkan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di perkarangan Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, di sini hari ini.
“Adalah diharapkan dengan bantuan yang disalurkan ini, ia dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di Terengganu terutamanya yang sedang mendapatkan perlindungan di pusat-pusat pemindahan sementara,” kata Wan Rosdy.
Sehingga petang tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu yang direkodkan ialah seramai 38,574 orang mangsa yang ditempatkan di 270 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu. – MalaysiaGazette