pasukan pembangkang PN
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang bertekad untuk menjadi pasukan yang konstruktif bagi menyemak imbang dasar, inisiatif dan program yang diperkenalkan oleh kerajaan campuran.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, mereka yakin kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih cenderung bersikap pragmatik dan sukar untuk mempertahankan prinsip yang dilaungkan sebelum ini.

“Tambahan lagi, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dalam kalangan mereka secara jelas telah mencabul amalan demokrasi, hak asasi dan mencanggahi Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan ini melambangkan sikap Perdana Menteri yang autokratik, tidak terbuka dan tidak bersedia untuk berbeza pandangan walaupun demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut menambah, sidang Dewan Rakyat selama dua hari yang berakhir semalam telah mempamerkan kredibiliti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli-ahli Parlimen PN berbahas dengan hujah dan fakta yang kuat.

Khairil Nizam memberitahu, penjelasan yang diberikan boleh dinilai secara rasional oleh rakyat supaya keyakinan dan harapan mereka terhadap Ahli-ahli Parlimen PN tidak disia-siakan.

“Pasukan pembangkang PN akan terus membawa isu-isu rakyat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik di Dewan Rakyat.

“Kami juga menuntut Ahli-ahli Parlimen agar berperwatakan matang, menjaga tingkah laku dan percakapan serta fokus kepada perbincangan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast