Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan pelaksanaan Program Prihatin Banjir untuk pelanggannya yang menjadi mangsa bencana berkenaan membuat penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga tempoh enam bulan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, program berkenaan diperkenalkan untuk membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa buah negeri.

“Pelanggan kemudahan Pembiayaan Perumahan, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam yang terjejas akibat bencana ini boleh mengemukakan pemohonan penangguhan bayaran ansuran bulanan mereka sehingga tempoh enam bulan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, pelanggan boleh membuat permohonan di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian.

Selain itu katanya, bank tersebut turut menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 untuk pelanggan Pembiayaan Perniagaan-i bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir.

“Menerusi kemudahan ini, perusahaan mikro yang layak boleh memohon pembiayaan berjumlah sehingga RM150,000, manakala saiz pembiayaan untuk PKS adalah RM700,000 dengan tempoh pembiayaan selama tujuh tahun termasuk moratorium selama enam bulan,” jelas beliau.

Katanya lagi, Bank Islam juga dalam masa yang sama memaklumkan tidak akan mengenakan sebarang caj bagi penggantian kad kredit-i dan debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku.

Sementara itu Mohd Muazzam berkata, bank berkenaan turut menyediakan tawaran moratorium sehingga enam kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada yang terjejas di kawasan bencana banjir dan dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Bantuan kewangan ini dibuka kepada semua kemudahan kredit dengan bayaran berjadual atau secara kontrak, khususnya Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan & Aliran Tunai serta Kemudahan Perdagangan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, bank berkenaan akan memudahkan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan bantuan.

“Kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi salah satu keutamaan Bank Islam. Justeru, kami berharap Program Prihatin Banjir dan dua lagi kemudahan Bantuan Bencana untuk PMKS yang terjejas dapat membantu melegakan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan mereka dalam mendepani situasi yang mencabar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast