Mohammad Zaidi Wan Isa menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di sekitar Chendor, Pahang.

KUANTAN – Mangsa banjir di Pahang yang memerlukan bantuan untuk mencuci rumah boleh menghubungi balai bomba berdekatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JPBM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya akan menggerakkan anggota membantu penduduk terjejas membersihkan rumah sebagai aktiviti pasca banjir.

“Arahan telah dikeluarkan kepada semua balai bomba di negeri ini supaya segera menggerakkan anggota untuk bantuan membantu penduduk selepas banjir surut,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular dan di Kampung Baru Chendor, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Tambah beliau, pihaknya kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir dan banjir kilat meskipun keadaan banjir di Pahang terkawal dan tidak serius seperti di negeri lain.

“Melalui ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kita akan memberi perhatian kepada kawasan berisiko banjir dan tempat-tempat lain kerana bencana ini sukar dijangka.

“Memandangkan cuaca masih tidak menentu, jadi kita sentiasa berwaspada dan berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Sementara itu, JBPM Pahang juga bersedia menghantar anggota bagi tujuan sama ke negeri lain termasuk Terengganu dan Kelantan.

Namun tambah beliau, pihaknya menangguh dahulu penghantaran anggota ke Terengganu dan Kelantan bagi memastikan situasi di Pahang benar-benar terkawal.

“Sekiranya disahkan tiada kemungkinan banjir berlaku lagi di negeri ini, JBPM Pahang hantar anggota dan logistik ke sana untuk bantuan pasca banjir jika diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast