Hamzah serangan Anwar
Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dikatakan mengambil tindakan yang tidak mengikut peraturan Parlimen apabila memetik laporan portal berita Itali, Agenzia Nova berkaitan dakwaan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.

Penganalisis politik, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, tindakan Hamzah itu adalah tidak wajar lebih-lebih lagi laporan portal tersebut diragui kredibilitinya.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Larut itu juga tidak relevan dengan harapan rakyat yang mahu melihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah sepatutnya berbahas secara lebih substantif dan bukannya membangkitkan isu-isu remeh yang memalukan yang dibawa oleh pihak di luar negara terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.

“Tambahan pula, kesahihan laporan portal tersebut boleh dipersoalkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mohammad Agus mengulas tentang tindakan Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) memetik tajuk artikel dari Agenzia Nova berkaitan isu homoseksual ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Beliau juga berharap pihak pembangkang termasuk Hamzah supaya bersikap lebih seimbang ketika berbahas dan memberi lebih penekanan terhadap usaha memastikan kerajaan menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat.

Sementara itu, Mohammad Agus memuji perbahasan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang disifatkannya sebagai terbaik dan berfakta.

Beliau memberitahu, saranan Johari agar semua pihak melupakan dahulu politiking agar krisis ekonomi yang melanda negara sejak empat tahun lalu perlu diberi perhatian dan dilaksanakan segera.

Mohammad Agus berkata, tumpuan hendaklah diberikan terhadap usaha mengurangkan beban hutang yang ditanggung negara serta menangani isu kenaikan harga barang.

“Saya percaya kerisauan Johari itu adalah kerisauan rakyat,” jelasnya.

Selain itu, beliau berpandangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said telah menunjukkan sikap yang sewajarnya sebagai seorang menteri manakala Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer juga mempamerkan perubahan yang positif di Dewan Rakyat.

“Cuma saya berharap Ahli Parlimen Hulu Langat (Mohd. Sany Hamzan) berubah bagi mengelakkan Dewan Rakyat menjadi seperti pasar ikan,” katanya. – MalaysiaGazette