BALIK PULAU – Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai menjadi “keldai akaun” oleh sindiket penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian, dalam siri serbuan di beberapa negeri dua hari lepas.
Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan hari ini berkata semua mereka berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Berdasarkan siasatan, jumlah kerugian yang dialami mangsa sindiket itu ialah RM1,330 hingga RM10,568 dan mereka yang ditahan dipercayai memberikan akaun bank untuk digunakan sindiket berkenaan bagi menipu mangsa.
“Suspek yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam kes-kes yang dilaporkan pada tahun 2019, 2021 dan 2022. Semua mereka direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan Macau scam.
Sementara itu, dalam kes berasingan kenyataan itu turut memaklumkan polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di sekitar Batu Maung semalam.
Sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah sebelum mereka menjualnya kepada pembeli terutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 70 bungkus plastik lutsinar berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air ketum. Sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” menurut kenyataan itu.
Semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Bernama