YANGON – Pemain pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar tidak menyangka dipersalahkan dalam keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Myanmar pada lewat perlawanan yang hampir meragut kemenangan Malaysia di Stadium Thuwunna di sini, malam tadi.
Namun, kecemerlangan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyelamatkan sepakan penyerang gantian Myat Kaung Khant memastikan skuad Harimau Malaya meraih tiga mata pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 itu.
Pengadil dari Jordan Ahmad Faisal Mohammad Al Ali menghadiahkan sepakan penalti selepas mendakwa bola terkena tangan Sharul Nazeem, namun pemain Selangor FC itu bingung dengan keputusan dibuat itu.
“Saya tak sangka dengan keputusan pengadil, mungkin dari sudut pandang dia, bola terkena tangan tapi saya tak nampak ia berlaku.
“Tapi saya berterima kasih kepada Syihan (Ahmad Syihan) sebab menepis bola percubaan penyerang Myanmar. Jadi saya rasa banyak lagi saya perlu belajar dan kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
Sementara itu, Ahmad Syihan berkata beliau tidak mempunyai niat untuk meniru gaya penjaga gol Argentina Emiliano Martínez yang mempamerkan aksi cemerlang dalam penentuan sepakan penalti sekali gus muncul wira skuad La Albiceleste menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.
Beliau berkata gaya dilakukannya adalah spontan kerana gembira dapat menyelamatkan sepakan penalti untuk membantu Malaysia memenangi perlawanan sengit berdepan Myanmar.
“Gaya ‘celebration’ saya itu terjadi secara spontan kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini yang pastinya menjadi pemangkin buat kami pergi lebih jauh dalam pertandingan ini,” katanya yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Malaysia akan meneruskan aksi kumpulan menentang Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu ini, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan) dalam misi memburu dua slot ke peringkat separuh akhir. – Bernama