KUALA LUMPUR – Tiga individu yang didakwa menyamar sebagai anggota polis merupakan anggota sebenar yang menjalankan tugas secara berpakaian preman.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. Anbalagan berkata, pihaknya menafikan dakwaan pemilik Twitter menggunakan nama Dolla apabila yang menyatakan keselamatannya terancam selepas ditahan dan di soal siasat oleh tiga lelaki yang disyaki menyamar sebagai polis.
Katanya, tiga anggota berkenaan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap telah membuat pemantauan mengenai kegiatan Ops Pusat Hiburan dan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan Puchong Jaya di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.
“(Kita) mendapati empat wanita dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan pada 20 Disember (kelmarin) sekitar jam 11.30 malam.
“Tiga anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang itu telah memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa mereka serta meminta kad pengenalan empat wanita terbabit untuk membuat semakan rekod jenayah melalui sistem MCAD PDRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setelah selesai pemeriksaan kesemua empat perempuan itu dibenarkan beredar dari lokasi dia ditahan selepas anggota berkenaan tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan.
Katanya, pemeriksaan ke atas individu disyaki mencurigakan adalah tugas utama polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin lebih-lebih lagi pada waktu tengah malam seperti tertakluk di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan peraturan 7 (1) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat apa-apa kesalahan dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan meminta pemilik akaun Twitter itu tampil bagi membantu siasatan lanjut.
“Pihak IPD Serdang menasihatkan orang awam supaya tidak mudah membuat spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan Polis Diraja Malaysia semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam terjamin. – MalaysiaGazette