KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan Program Prihatin Banjir untuk membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas.

Pelanggan kemudahan Pembiayaan Perumahan, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam yang terjejas akibat bencana ini boleh mengemukakan pemohonan penangguhan bayaran ansuran bulanan mereka sehingga tempoh enam bulan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, Bank Islam juga tidak akan mengenakan sebarang caj bagi penggantian kad kredit-i dan debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku.

Bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas, Bank Islam menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 untuk pelanggan Pembiayaan Perniagaan-i yang terkesan.

Menerusi kemudahan ini, perusahaan mikro yang layak boleh memohon pembiayaan berjumlah sehingga RM150,000, manakala saiz pembiayaan untuk PKS adalah RM700,000 dengan tempoh pembiayaan selama tujuh tahun termasuk moratorium selama enam bulan.

Sementara itu, moratorium sehingga enam bulan juga disediakan kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada yang terjejas di kawasan bencana banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Bantuan kewangan ini dibuka kepada semua kemudahan kredit dengan bayaran berjadual atau secara kontrak, khususnya Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan & Aliran Tunai serta Kemudahan Perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam sentiasa mengikuti perkembangan terkini situasi di kawasan-kawasan yang terjejas. Kami amat prihatin dengan cabaran yang dialami pelanggan ketika ini dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan bantuan yang mudah untuk mereka.

”Kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi salah satu keutamaan Bank Islam. Justeru, kami berharap Program Prihatin Banjir dan dua lagi kemudahan Bantuan Bencana untuk PMKS yang terjejas dapat membantu melegakan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan mereka dalam mendepani situasi yang mencabar ini,” tambah beliau.

Permohonan Program Prihatin Banjir boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast