GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di sini dikejutkan dengan warna air Sungai Wias yang bertukar kehitaman ketika melakukan aktiviti harian di kawasan tersebut.
Keresahan itu dikongsikan Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok, Jimi Angah yang mendakwa pencemaran itu berpunca daripada aktiviti melombong emas di sungai tersebut.
Menurut Jimi, Sungai Wias mula tercemar sekitar tahun 2018 dengan warna seperti ‘teh tarik’ berserta bau hanyir, namun ia bertukar kehitaman menjelang pertengahan tahun lepas.
“Sungai Wias ini mula tercemar sekitar tahun 2018 sehinggalah sekarang. Masa itu warna air belum hitam, hanya seperti ‘teh susu’ tapi cukup berbau. Sungai ini mula berubah warna kehitaman tahun lepas sampai hari ini.
“Memang kita nampak sendiri ada aktiviti perlombongan emas dan sehingga kini ia masih rancak. Malah, ada juga aktiviti pembalakan serta perladangan yang menjadi punca pencemaran ini terjadi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.
Jelasnya, selepas selesai aktiviti pembalakan di sekitar hulu Sungai Wias, projek akan diteruskan dengan aktiviti perladangan seperti mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah.
Dakwa Jimi, perusahaan tersebut yang tidak dapat dipastikan sama ada berlesen atau sebaliknya itu ternyata memberi ancaman kesihatan kepada penduduk kampung sekitar kerana air hasil tanaman yang dibaja serta diracun akan mengalir ke sungai.
Luahan sama turut dikongsikan wakil penduduk yang terjejas, Kilot Busu, 73, yang telah menetap di Kampung Kuala Wias lebih enam dekad.
Kilot berkata, penduduk telah membuat aduan berkali-kali kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran sungai tersebut, namun sehingga kini masih tiada tindakan.
Katanya, Sungai Wias menjadi sumber air utama bagi enam keluarga di kampung tersebut dengan hampir 30 penduduk terpaksa menggunakan ‘air hitam’ itu bagi meneruskan kehidupan harian.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan wujudnya perlombongan emas di Sungai Wias seperti dakwaan penduduk.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen atau kebenaran bagi aktiviti tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette yang dibuat melalui udara menggunakan dron mendapati, air Sungai Wias jelas berwarna kehitaman dengan dikelilingi beberapa ladang tanaman di kawasan sekitar.
MalaysiaGazette kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak JAS bagi merungkai pencemaran yang membelenggu nasib komuniti Orang Asli Kuala Wias. – MalaysiaGazette