KUALA LUMPUR – Fasa 2 Laluan MRT Putrajaya akan beroperasi sepenuhnya mulai Mac, kata Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).
Menurutnya, pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral juga telah siap.
”Laluan sepanjang 38.7 kilometer bagi jajaran Fasa 2, yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dijangka beroperasi pada Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Fasa 1 Laluan MRT Putrajaya, dengan 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah mula beroperasi mulai 16 Jun lalu.
Apabila Fasa 2 beroperasi sepenuhnya, penumpang akan dapat berpindah ke laluan rel sedia ada yang lain di 10 stesen pertukaran yang berbeza.
Stesen pertukaran di Kwasa Damansara (dengan laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (KTM), Sri Damansara Timur (KTM), Kampung Batu (KTM), Titiwangsa (Ampang dan LRT Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (LRT Kelana Jaya).
Tun Razak Exchange (MRT Kajang), Chan Sow Lin (LRT Ampang dan Sri Petaling), Sungai Besi (LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (ERL KLIA Transit).
MRT Corp berkata, sebanyak 5,870 tempat letak kereta disediakan di 15 stesen di sepanjang laluan itu.
Laluan MRT Putrajaya sebelum ini dijadualkan beroperasi pada Ogos 2021 tetapi ditangguhkan ke pertengahan November tahun yang sama dan mengalami kelewatan.
Setelah siap, MRT Laluan Putrajaya akan meliputi jarak laluan sepanjang 57.7km, dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya. – MalaysiaGazette