Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mencari dua individu yang didakwa menggunakan kanak-kanak untuk meraih sumbangan pengguna jalan raya di beberapa lokasi negeri ini seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mencari dua individu yang didakwa menggunakan kanak-kanak untuk meraih sumbangan pengguna jalan raya di beberapa lokasi negeri ini seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata beberapa pegawai pelindung, kaunselor dan penguat kuasa Pejabat Kebajikan Melaka Daerah (PKMD) Jasin telah ke lokasi berkenaan bagi mencari wanita dan lelaki terbabit untuk membantu siasatan.

Pencarian itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan seperti ditularkan di media sosial mengenai tindakan pasangan yang didakwa merupakan ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka untuk mendapat simpati ramai.

“Tengah hari tadi, beberapa pegawai PKMD Jasin telah melakukan siasatan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Batu Gajah untuk mencari pasangan berkenaan seperti yang ditularkan.

“Bagaimanapun, hasil tinjauan dan rondaan bermula dari Merlimau sehingga ke Sungai Rambai Umbai gagal mengesan pasangan berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Burhanuddin Bachik

Tambahnya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan ibu bapa tidak menggunakan anak-anak bagi mendapatkan simpati orang ramai yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelas beliau, akta itu jelas menyebut pihak JKM boleh menyelamatkan kanak-kanak sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 17(1)(c ) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016.

“Ia boleh dikenakan terhadap mana-mana ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak yang tidak layak atau telah mengabaikan atau tidak berupaya untuk menjalankan atau telah bertindak secara cuai dalam menjalankan pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak itu.

“Sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, kecuaian dan pengabaian bukan satu kesalahan yang remeh di sisi undang-undang malah adalah satu kesalahan besar yang memberi kesan yang sangat buruk terhadap masa depan anak-anak.

“Walaupun ia kelihatan kecil dari sudut luaran, ia sebenarnya serius apabila kes tersebut melibatkan nyawa, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.

“Justeru, semua pihak terutama ibu-bapa harus menyedari dan memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi yang akan menjejaskan proses pembesaran mereka,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai pasangan yang didakwa suami isteri sedang menolak kereta bersama dua orang kanak-kanak yang diletakkan di atas bumbung kereta.

Tindakan pasangan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizan yang mempertikai tindakan individu berkenaan kerana sering dilihat mengulangi perbuatan sama.

Perbuatan itu turut dikaitkan dengan usaha mudah pasangan berkenaan meraih sumbangan pengguna jalan raya yang simpati terhadap nasib mereka. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast