SEBERANG PERAI – Sesetengah penjaja dan pemborong mungkin memilih untuk tidak menjual tomato selama lima hari kerana harga maksimum musim perayaan yang ditetapkan adalah lebih rendah daripada harga borong.
Seorang pemborong sayur di Pulau Pinang memberitahu Guang Ming Daily, harga kawalan yang diumumkan kerajaan adalah RM5 satu kilogram sedangkan harga borong semasa berlegar antar RM6.50 hingga RM7 satu kilogram.
Katanya, penjualan mengikut harga maksimum justeru bermakna peniaga perlu menanggung kerugian.
Pemborong itu juga memberitahu mungkin memilih untuk tidak menjual tomato mulai 23 Disember kerana penjualan melebihi harga siling akan membawa denda, malahan hukuman penjara jika didapati bersalah.
Menurut pemborong itu lagi, cuaca kurang baik menyebabkan harga sayur dari Cameron Highlands mengalami pergolakan yang besar dan kelembapan juga menyebabkan banyak sayur mudah rosak.
Katanya, tomato sebelum ini boleh diimport dari Thailand, tetapi banjir yang berlaku di selatan negara jiran itu juga menyebabkan penawaran berkurangan.
Ujarnya, tomato merupakan bahan yang digunakan dalam sajian semua kaum di Malaysia dan ia juga tidak boleh digantikan dengan bahan alternatif lain dalam makanan Malaysia.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan skim harga maksimum perayaan Krismas selama lima hari bermula 23 Disember.
Skim kawalan harga itu membabitkan 11 jenis barangan termasuk tomato sebanyak RM5 satu kilogram.
Dalam pada itu, seorang penjaja pula memberitahu harga jualan tomato di gerainya pada 21 Disember adalah RM10 satu kilogram.
Katanya, penjaja membeli tomato pada harga RM80 satu kotak atau RM8 satu kilogram daripada pemborong dan menjual dengan RM10 satu kilogram kepada pengguna.
“Kadar keuntungan menang tidak tinggi dan penjaja juga perlu menampung kerugian jika terdapat tomato yang rosak dalam kotak.
“Jika kerajaan meletakkan harga siling pada RM5 satu kilogram, maka saya akan memilih untuk tidak menjual tomato,” katanya dipetik Guang Ming Daily. – MalaysiaGazette